Powered By Blogger

30 January 2005

Senario Di Rumah PENA

"Baiklah sekarang kita buka kepada sesiapa yang ingin mengajukan soalan kepada ahli-ahli panel kita", Ujar saudara Nazmi BH selaku pengerusi forum semalam.

Hurmm... Aku kunci mulut. Aku ada buah fikiran yang hendak dilontarkan tetapi aku memilih berdiam diri kerana kegugupan mengusai diri.

"Kalau aku bercakap, harus bergetar intonasi suara aku!", Gempa bumi melanda dari dalam. Kelihatan seperti sengaja beralasan. Memang itulah hakikatnya. Biarlah orang kata aku pengecut, tapi situasi di Rumah PENA semalam sedikit sebanyak (apabila di keliling bijak pandai bahasa dan sastera), aku masih belum bersedia. Masih belum bersedia...
----------
Dalam kelewatan menghadirkan diri di Rumah PENA, sekonyong-konyong menjejakkan kaki di tingkat 1 rumah ala-ala kolonial yang begitu indah (daripada luar) aku terkejut kerana sebuah majlis diskusi ringkas yang sepatutnya berkitar kepada dunia Weblog sebagai ruang untuk mengekspressi idea dan sastera bertukar kepada sesi pengadilan ke atas weblog, blogger (mereka yang berblog) dan 'dignity' sesebuah weblog.

Keadaan di luar sejuk berangin dan diselangi dengan hujan renyai-renyai...

Berbeza di dalam ini, keadaan agak panas mungkin kerana alat penghawa dingin yang tidak berfungsi dengan baik, dan mungkin juga keadaan ruang sempit kusam di tingkat atas itu kelihatan cukup-cukup menampung jumlah peserta yang hadir (yang majoritinya terdiri daripada para blogger dan 'tuan rumah') ditambah lagi dengan keletihan berpusing-pusing mencari arah ke Rumah PENA sebentar tadi (dengan tergesa-gesa) menyebabkan aku berasa agak tidak selesa dan sedikit berpeluh.

Mana ada sesi pengadilan?
Tiada seorangpun di kalangan ahli panel dan peserta yang secara terang-terangan membantai para blogger. Memang tiada (apatah lagi Tok R dan Kak Sri Diah yang sentiasa memberikan projeksi yang baik tentang perkembangan dunia weblog semasa). Tetapi maaf kata, aku rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena (mungkin aku agak emosional! Mungkin...), aku melihat suatu senario di mana di ketika itu WEBLOG, yang merupakan topik utama semalam seolah-seolah sedang dilucahkan secara tidak sengaja!

Sedang dilucahkan?
Aku merasakan, tatkala aku mengeluarkan buku nota kecil untuk menghayati diskusi semalam, satu garisan halus (yang sangat halus!) sedang dilakar untuk membezakan antara weblog sebagai ruang mengekspressikan idea dan sastera secara 'salinan lembut' dan dan karya sastera yang bercetak (salinan keras). Ok, itu aku masih boleh menerima dan mengikuti. Seperti kata Kak Nisa dan Tok R, antara weblog dan buku antologi sastera (hanya sekadar contoh) adalah sama sekali berbeza dan berada di dalam kelas (bukan yang tersendiri) tetapi kelas yang berlainan. Bukannya dalam suatu aliran yang sama pun. Macam air dan minyak, macam gas argon dalam udara. Tak boleh bercampur.

Untuk 10 minit berikutnya, aku melihat suatu lagi senario di mana, para blogger telah ditujukan jalan (indirectly...) supaya lebih berhemah dan mengikuti sebuah lagi garisan yang sedang dilakar. Garisan yang akan menjadi benchmark kepada ciri-ciri penghasilan weblog yang lebih baik supaya dapat membantu industri sastera supaya lebih berkembang. Di saat itu aku mula berfikir,
"Perlukah aku sebagai blogger mengikuti tata tanda berkenaan supaya sedang bila aku berkarya di atas talian aku tidak membunuh produk-produk sastera di toko-toko buku?!"

Aku melihat, kemudahan weblog hanyalah media alternatif terutamanya para pelayar internet seperti kita dapat memanfaatkannya (dengan kemudahan yang ada) untuk kita berkarya dan tak semestinya karya itu adalah penulisan sastera. Dan pula ianya sama sekali tidak menggantikan peranan media cetak sebagai medium utama penyebaran sastera. Para audience telah diterangkan sebelum itu bahawa weblog dan buku antologi sastera adalah 2 medium berbeza walaupun akhirnya boleh mencapai maksud yang sama... Jadi kenapakah kita mesti mengubah cara kita menulis, membetulkan bahasa penulisan kita (ITALIC kan bahasa slanga dan hapuskan bahasa sms dalam entri) dan perlu melalui beberapa proses saringan baru ianya layak diPUBLISH?

Kenapa ya? Kalau begitu keperluannya, baik aku mula berkarya di atas kertas dari sekarang dan menghantarnya ke DBP untuk di disemak dan disaring oleh editor. Kemudian aku tunggulah ulasan dari mereka samada karya aku itu layak untuk diterbitkan atau tidak. Untung sabut (kalau editor berpuas hati dengan standard dan mutu karya aku... pun mungkin perlu melalui beberapa sesi melantit bersama editor berkenaan), setahun kemudian terbitlah karya aku itu.

Apabila weblog perlu mengikuti citarasa ahli bahasa dan sastera berkarya maka lumpuhlah fungsi weblog yang sebenar. Yang bertahan mungkin Jurnalam dan Fajaronline (sekadar menyebut beberapa nama), yang selebihnya masuklah kelas malam untuk mengikuti semula kelas bahasa ataupun kalau tidak mampu, mungkin boleh bermula semula dengan berjinak-jinak dengan buku-buku linguistik dan sastera. Ataupun tutup sahaja weblog kalian, kerana kelak kalian akan dituduh sebagai pembunuh sastera pula.

Point aku di sini adalah... weblog adalah weblog! Weblog adalah medium alternatif untuk sesiapa sahaja (yang tidak memerlukan kelas tersendiri) untuk berkarya. Bermulalah dengan bahasa slanga, bertitik tolaklah dari bahasa SMS pun asalkan kita berkarya. Selagi ada minat. Jangan kerana terlalu banyak 'tidak boleh' dan 'tidak perlu', minat kita mati. Di peringkat awal aku berblog dulu, tiada sesiapapun yang memaklumkan kepada aku bahawa untuk berblog perlu begitu dan begini. Dan aku akan terus begitu... Yang aku tahu, Kalau aku ingin berpuisi, aku mahu menjadi seperti Jurnalam dan Fajaronline, kalau aku nak berkritis dan bersinis, mungkin Tok R dan Mat Jan boleh jadi pilihan aku. Segala-galanya ada di dunia blog... Bukankah indah jika begitu?

...menuju ke minit-minit terakhir, jiwa aku sedikit tertekan. Sehinggalah saudara Dahri (Kak Sri Diah ada menerangkan serba sedikit profail beliau, tapi aku terlalu malas untuk mengingati... maaf) memberikan pandangan beliau yang sedikit sebanyak seperti apa yang aku fikirkan. Cuma bezanya beliau lebih berani (dari aku) dan dalam keadaan tertentu agak agresif menyatakan pendapatnya yang aku rasa agak perlu dalam situasi yang sebegitu. Walaubagaimanapun, itulah namanya forum. Masing-masing berhak melontar buah fikiran dan soalan. Takkan ada yang tak puas hati kot dengan pandangan aku ini?
----------
Semasa sedang mengambil jamuan ringan buat mengisi perut...
"Kat sini semua blogger kan?", seorang 'tuan rumah' membaling soalan.
Kami berpaling sekadar mengangguk...
"Hah.. eloklah tu, PERKAUMAN!", jerkah 'tuan rumah' lagi.
Huh?!
Begitulah senario di Rumah PENA. Adat orang bertandang...

.:Nota Tangan:. -Cuba memandang pada perspektif yang lebih positif supaya mungkin PENA dan GeJu di suatu masa boleh bekerjasama untuk "bring the best from each other!".

0 comments: