Powered By Blogger

20 January 2005

Atuk oooh... Atuk!

Esok hari raya Aidiladha. Erm... hampir tak perasan. Kalau tak kerana diberikan cuti bergaji pada hari Jumaat (esok), mungkin ramai yang tak perasan (termasuk aku) bahawa esok hari raya haji. Apa yang aku rasa? Aku rasa biasa... aku rasa takde apa2 yang istimewa (memang biasanya pun begitu... kerana hari raya haji tak semeriah hari raya puasa) melainkan kemeriahan berkumpul dengan sanak saudara di kampung.

Yee... aku baru balik dari menjengah datuk dan nenek aku yang masih hebat. Hahaha... mereka masih hebat kerana masih lagi mampu bergurau senda dan kutuk mengutuk antara satu sama lain di hadapan anak-anak dan cucu-cicit! Atuk aku tue memang begitu, kalau mood dia tengah baik... Macam-macamlah idea lawaknya yang keluar. Walaupun selalunya aku tak paham sangat dengan lawak 'emas'nya tue (kerana percakapannya yang kurang jelas), tapi aku boleh agak dia berlawak bila tengok dia tersengeh-sengeh gelihati. Akupun gelak lah... Kalau tak kecik plak hati orang tua tue.

Hahaha... tuelah atuk aku, masih lagi betah bergurau walaupun usia sudah meniti awal 80an. Agaknya tue yang istimewanya pasal atuk aku, kalau tak, takkan kami terpaksa menghantar pulang maid indon yang kitorang sediakan untuk mereka hanya kerana nenek aku jeleskan atuk aku yang asyik bergurau dengan maid tue. Manalah nenek aku tak jeles, ada ke patut dia kata Kak Tini (maid indon) tue cantik cam Siti Nurhaliza. Sah atuk dah rabun.. Ngehngehngeh... Mau tak menyinga nenek kat kampung. Disebabkan geramkan atuk, Kak Tini yang jadi mangsa. Atuk... atuk... Atuk aku adalah seorang DATUK yang mendapat pangkat MOYANGnya lebih dulu dari pangkat DATUKnya (JP.AMN.DMSM)!!

Mari kita belajar sejarah...

Atuk aku adalah seorang pejuang kemerdekaan tanahair. Masa zaman pendudukan Jepun dulu, atuk pernah dipaksa bekerja sebagai Pegawai Penyelidik (bukan perisik tau) untuk tentera Nipon. Disebabkan benci sangat dengan Nipon, atuk melarikan diri bersama beberapa kawannya dan menganggotai tentera British (kerana pada masa itu British berjanji untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Malaya) sebagai perisik tentera. Atuk pernah naik kapal selam dari England untuk ke Malaya tetapi tak dapat berlabuh kerana pelabuhan Singapura dikawal ketat oleh tentera Jepun. Atuk kemudiannya dihantar ke Sri Lanka oleh British untuk berlatih payung terjun. Bila dah mahir atuk dan kawan-kawannya dijatuhkan dari kapal terbang oleh tentera British dengan menggunakan payung terjun lalu tersangkut di sebatang pokok di Sungai Petani, Kedah. Dari situlah bermula karier atuk sebagai perisik tentera British sehinggalah Jepun menyerah kalah.

Begitulah hebatnya atuk aku. Itu baru beberapa cerita daripada berkoyan-koyan cerita beliau yang tak jemu-jemu diceritakan kepada kami (setiap kali kami cucu-cicitnya) pulang ke kampung. Sampai nak hafal kami dengan cerita-ceritanya. Lagi satu cerita yang agak menarik mengenai atuk aku adalah, atuk telah pergi menunaikan Haji sebanyak 7 kali (aku rasa) dan kali pertama atuk ke sana adalah ketika atuk berumur 14 tahun! Tahun berikutnya atuk aku pergi sendiri ke Tanah Suci dengan menyelusup masuk menaiki kapal laut dan menetap belajar ilmu agama di sana sehingga berumur 20 tahun. Hebatkan atuk aku? Masa atuk balik ke kampung, orang kampung ingat dia dah mati sampailah dia membuktikan bahawa dialah Hj. Ahmad bin Hj. Joned dengan menunjuk tanda lahir (berwarna hitam) yang terdapat di belakang bahunya... Ketika itulah atuk bertemu dan berkahwin dengan nenek aku Sapiah bte Adam ketika nenek berusia 14 tahun!

Namun, dalam kehebatan kisah silamnya, atuk tak boleh lari dari dimamah usia. Atuk dah tak dapat ingat lagi dah nama cucu-cucu dan cicit-cictnya. Setiap kali kami balik, setiap kali tuelah dia tanya nama kami. Yang mana Pendi, yang mana Arin, yang mana Apis, yang mana Keloi, Wan, Izam, Lela, Adi, Ina, Su, Miza, Amir, Nina, dan yang lain-lain tue...? Nama cicit? Aku sendiri tak boleh nak ingat, ramai sangat woo!! Maklumlaa.. anak-anak atuk aku ada 13 orang! Atuk oooh... Atuk!

.:Nota Tangan:. -Atuk aku tak bleh tau aku keje muzium, kalau tak asyik dia tanya gambar dia terjun pakai payung terjun pada 31 Ogos 1957 dulu ada lagi tak?! Errr... aku pun tak pernah tengok gambar tue sebenarnya! Hahaha...

0 comments: